Masih Dungu

FRIDAY, JUNE 10, 2016


UMNO, tegur-tegurlah sikit


Ada pihak yang menyalak kononnya empat tahun lagi  Malaysia akan melangkah menjadi negara maju.  Tetapi  ironinya pemberian bantuan khas  kepada kakitangan awam sebanyak RM500  sempena Hari Raya  dianggap "meringankan" beban. 

Ini menunjukkan  walaupun RM500 bukanlah sebesar mana pada masa ini tetapi dalam kalangan yang berpendapatan rendah, jumlah RM500 sudah besar.  Bagi yang berkerja dengan gaji minimum, RM500 adalah setengah bulan gaji. Kalau dalam kalangan rakyat menganggap RM500 sebagai "meringankan beban" ini menunjukkan paras kemiskinan masih tinggi.

 Maka kita yang waras  wajar  bertanya apa perlunya isteri Perdana Menteri,  Rosmah Mansor  membelanjakan RM1.4 juta  semata-mata untuk pergi menerima anugerah yang "entah apa-apa" di Istanbul, Turki baru-baru ini.  Rakyat perlu tahu pembaziran  yang dilakukan oleh  pemimpin dan keluarganya mungkin secara tidak sengaja  membelanja RM1.4 juta duit rakyat.

Teguran terhadap sikap begini  sepatutnya datang daripada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri.  Tetapi malangnya pendedahan begini datangnya daripada pemimpin pembangkang,  Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan)  yang dianggap sebagai bermotifkan politik oleh pemimpin UMNO.

Kalau pemimpin pembangkang bermotif politik, elok sangatlah pemimpin UMNO sendiri yang menjuarai  dalam tugas menegur pemimpin mereka. Tetapi malangnya mereka diam, sunyi dan bisu.

Pegawai Khas  Rosmah Mansor, Rizal Mansor  tidak menafikan pendedahan  Rafizi bahawa jet peribadi  kerajaan yang membawa Rosmah untuk menerima anugerah di Istanbul disewa   RM68 juta untuk dua bulan.  Jet mewah itu untuk kegunaan rasmi  Yang diPertuan Agong, Permaisuri Agong dan Perdana Menteri.

Rosmah hanya menggunakan jet itu selama 26 jam, kata Rizal. Kalau dibahagikan,  satu hari sewanya RM1.4 juta.

Bagi sebuah negara yang kakitangan  awamnya  gembira tidak terkata  dengan bantuan kerajaan sebanyak RM500,  nilai RM1.4 juta  tentunya  sangat besar. Apa lagi  nilai yang sebanyak itu dibelanjakan untuk membawa isteri  seorang Perdana Menteri menerima anugerah. 

Daripada penyelidikan saya,  anugerah yang diberikan kepada Rosmah itu bukanlah  Anugerah Nobel dan tidak sepatutnya duit rakyat dihanguskan  semata-mata untuk tujuan tersebut.

Kenapa tidak menggunakan penerbangan komersil?  Saya percaya belanjanya tidaklah setinggi menggunakan jet peribadi. Tetapi  kata Rizal,  Rosmah mempunyai jadual yang ketat  termasuk  ada majlis  yang Permaisuri Agong yang perlu dihadiri di Kuala Lumpur. 

Di sinilah perlunya akal dan sikap yang bertanggungjawab.  Akal diperlukan untuk memilih di manakah yang harus diberi keutamaan antara menerima anugerah yang "entah apa-apa" dengan majlis yang dihadiri oleh  Permaisuri Agong.  Saya percaya nama Malaysia tidak akan tercela sekiranya  bukan Rosmah sendiri yang datang menerimanya.

Sikap yang bertanggungjawab pula  ialah berkira-kira untuk membelanjakan wang rakyat.  Saya tidak mempertikaikan kelayakan Rosmah menggunakan jet peribadi kerajaan tetapi sebaik-baiknya di tempat yang  keperluannya  sangat mendesak.  Kalau asal sahaja ada kelayakan dan digunakan dengan tidak berhemah,  itulah  yang dinamakan pembaziran dan penyalahgunaan kelayakan.

Pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat  akan  sentiasa memikirkan perihal keperitan rakyat.  Ketika sebahagian besar rakyat terpaksa ikat perut  dan terpaksa membuat dua tiga kerja untuk menampung kos sara hidup yang melonjak,  di sinilah perlunya pemimpin yang ada keinsanan yang tinggi. Tidak cukup sekadar menasihatkan rakyat jangan membazir pada bulan Ramadan tetapi pemimpin sendiri tidak menunjukkan sikap berbelanja yang berhemah.

Bagaimanapun saya percaya  tindakan  Najib mengizinkan Rosmah menggunakan jet peribadi  bukan suatu yang disengajakan.  Mungkin ada sedikit kelekaan yang niatnya baik tetapi kesannya tidak begitu baik.  Di sinilah perlunya pemimpin-pemimpin UMNO   dan wartawan-wartawan berpengaruh   menegur atau menyedarkan pemimpin utama mereka yang mungkin terleka.

Saya tidak percaya  Najib akan mengambil tindakan ke atas mereka kerana menegur dengan tujuan yang baik.  Tetapi kalau diambil tindakan atau dipecat sekalipun apa salahnya kerana membuat sesuatu yang baik untuk  rakyat.  Apalah gunanya hanya menjaga "tembolok sendiri" dan takut hilang jawatan padahal  kita boleh mengubah keadaan itu  sekalipun diri menjadi korban?
Nak mengharap pemimpim macam ni untuk menegor...............................

Comments

Popular posts from this blog

dari Blog; Tumpang sekole

Jiwa Hamba

Catatan "Hishamuddin Rais" Malam Keputusan PRU 14