Dunia Ramadhan oleh Abu Seman

Selama dua tahun berturut-turut iaitu pada Ramadan 2014 dan 2015  saya berjaya mencapai sasaran KPI saya untuk tidak berbuka puasa di hotel-hotel mewah  memenuhi undangan pelbagai pihak  terutama kementerian dan syarikat korporat.  Saya berbuka puasa di rumah,  di warung atau di pejabat sahaja.

Beberapa tahun sebelum itu, saya adalah orang yang paling "liat" untuk  memenuhi undangan berbuka puasa di hotel mewah.  Saya sudah ada persepsi sendiri dan paling tidak seronok apabila timbul rasa bersalah bersekongkol dengan hipokrasi yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Ramadan.

Seingat saya, tahun lalu saya banyak berbuka puasa di pejabat kerana Utusan Melayu menyediakan juadah berbuka puasa. Tradisi menyediakan juadah secara percuma kepada kakitangan terutama Jabatan Pengarang bermula sejak lama dulu.  Ketika saya menyertai Utusan Melayu  32 tahun lalu tradisi ini sudah pun lama wujud.

Sehingga tahun 1993  pemberian juadah percuma berbuka puasa dibuat secara bungkusan atau nasi bungkus.  Tetapi selepas itu kakitangan berbuka puasa secara bufet di khemah khas di depan pejabat.  Selama berkerja di Utusan Melayu,  saya mendapati  juadah yang disediakan sangat menyelerakan walaupun layanan bukan seperti hotel lima bintang.

Satu tradisi  lain pula bagi  wartawan khususnya di media arus perdana ialah undangan berbuka puasa yang kencang selepas hari kesepuluh hingga empat lima hari sebelum  Hari Raya.  Ada ketika satu malam ada empat atau lima undangan berbuka puasa di hotel-hotel mewah dianjurkan oleh kementerian atau syarikat korporat.

Malah ada yang melihat dulu senarai hotel dan memilih yang paling hebat untuk berbuka puasa.  Ketika baru berkerja dulu  saya juga terikut dengan wartawan-wartawan senior  "mengatur" hotel  di sepanjang bulan Ramadan untuk makan juadah yang enak lagi mewah.

Tetapi  setelah lama berkeadaan begitu,  barulah saya sedar bahawa  dalam budaya  korporat dan politik,  semua perkara akan digunakan asal saja memberikan pulangan termasuk hal-hal agama seperti Ramadan dan  rumah terbuka pada sepanjang Syawal. 

Kalau dianjurkan oleh kementerian,  selalunya menteri yang akan mendapat  faedah politik apabila sebahagian besar tetamu adalah orang politik termasuk ketua-ketua bahagian UMNO. Selebihnya wartawan.  Yang paling sedikit ialah anak-anak yatim yang digunakan sebagai prop untuk beraksi dalam gambar untuk disiarkan di akhbar atau televisyen.

Sepatutnya yang memenuhi dewan mewah hotel lima bintang ialah golongan yang tidak berkemampuan atau anak-anak yatim.  Mereka yang lebih berhak. Saya rasa bersalah kalau memenuhi undangan kerana telah mengambil hak anak yatim. Jangan lupa penganjuran majlis berbuka puasa kementerian yang faedah menjurus kepada menteri ditanggung oleh rakyat.  Ini bukan cara yang baik untuk meraikan Ramadan.

Ini sudah tidak betul kalaulah tujuan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk meraikan golongan yang tidak berkemampuan.  Majlis berbuka puasa sepatutnya tidak ada agenda lain termasuk politik  apa lagi menggunakan  peruntukkan yang sebenarnya datang daripada rakyat.  Tidak menjadi persoalan kalau menteri-menteri tertentu mengeluarkan dana peribadi untuk meraikan juak-juak politiknya. 

Tetapi menggunakan peruntukkan kepada kementerian tetapi yang datang itu  adalah juak-juak politik dan wartawan (yang berkemampuan berbuka puasa di hotel lima bintang), itu adalah suatu yang tidak betul.

Saya sangat kasihan dengan anak-anak yatim yang diperalatkan apabila disediakan dua atau tiga meja, kemudian orang politik beraksi memberi duit raya dan disiarkan di media.  Ironinya banyak juga rumah anak-anak yatim yang kurang kemampuan di luar-luar bandar. Mereka inilah yang sepatutnya diundang, bukannya yang  terlebih mampu berbuka puasa di hotel.

Oleh yang demikian saya pun bertekad untuk menjauhkan diri daripada hipokrasi ini.  Sudah tentu tidak ada kesan kerana siapalah saya.  Apa lagi tidak "bertepuk bertampar"  dengan orang politik kerana hubunganyang sangat mesra. Tetapi  kalau kesedaran ini dilakukan secara sepakat oleh semua organisasi media dengan tidak melayan semua undangan berbuka puasa di hotel-hotel mewah,  sedikit sebanyak perubahan mungkin akan berlaku.

Memang benar  memenuhi undangan  adalah strategi  untuk mendekatkan organisasi media dan wartawan dengan kementerian-kementerian atau syarikat korporat tertentu.  Ini membawa kepada kesanggupan  kementerian atau syarikat korporat membeli  ruang iklan yang lebih besar.  Apabila iklan banyak untung pun besar.

Tetapi kalauah benar media mempunyai kuasa yang besar dan boleh membuat perubahan,  ubahlah sikap hipokrit terutama yang berkaitan dengan hal-hal agama daripada dipergunakan.  Hendak bagi jamuan besar-besaran di hotel mewah  buat sajalah   tetapi jangan  mengaitkan dengan buka puasa.  Ini kerana puasa dan berbuka puasa ada  pengertian yang besar bagi orang Islam.

Saya menyokong penuh Polisi Tanpa Hadiah yang diamalkan oleh beberapa organisasi media.  Kalau polisi ini  boleh dilaksanakan demi meningkatkan integriti  dalam hubungan profesional media dengan pihak luar,  sudah tentu tidak ada masalah  "berbuka puasa secara bermewah-mewahan"  terutama kementerian dan agensi kerajaan  dikelaskan juga sebagai hadiah.

Wartawan kenalah membuktikan bahawa Ramadan bukan bulan pesta makan besar.  Definisi  Ramadan perlulah diperbetulkan  supaya mereka yang bukan Islam tersalah anggap bahawa orang Islam akan "mabuk makan" dan tidak ingat lagi kepada yang kurang berkemampuan apabila tiba bulan Ramadan.

kayangdailypost

MONDAY, JUNE 13, 2016

Comments

Popular posts from this blog

dari Blog; Tumpang sekole

Jiwa Hamba

Catatan "Hishamuddin Rais" Malam Keputusan PRU 14