Ya La

Hanya Kebetulan
Posted on Friday, October 07 @ 07:34:17 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Artikel"

Cerita-cerita kebetulan ini menarik juga untuk difikirkan. Rakyat gempar dengan berita penemuan wang tunai dengan jumlah yang mega besar di dalam sebuah rumah di Sabah. Bungkusan-bungkusan wang kertas RM50 dan RM100 berlonggok-longgok di dalam almari tak ubah macam susunan bungkusan tisu di supermarket. Terbeliak mata rakyat marhaen dibuatnya.

Syabas diucapkan kepada SPRM atas kejayaan mereka menangkap dua orang durjana ekonomi itu. Bagaimanakah mulanya SPRM mendapat maklumat sehingga terbongkarnya rasuah yang dilakukan mereka?
Inilah yang dikatakan kebetulan. Kebetulan penangkapan ini berlaku ketika ada parti baru mahu diwujudkan di Sabah. Massa tahu bawa Dato’ Sri Shafie Afdal sedang rancak menarik sokongan dan dokongan pemimpin tempatan dan rakyat Sabah untuk bersama-sama dengan parti barunya nanti. Parti ini nanti dijangka mesra pembangkang kerana hubungan rapat antara Dato’ Seri Shafie Afdal dengan Tan Sri Muhyidin Yassin, Presiden Parti BERSATU. Maknanya BN cuba ditumbangkan di Sabah.
Sabah adalah fixed deposit BN. Tumbang BN di Sabah alamat Putrajaya juga turut tergugat.  Maka ‘bilik perang’ pemerintah mesti lakukan sesuatu sebelum terlambat. Antaranya membunuh karektor musuh dan melemparkan persepsi negatif agar rakyat menjauhinya.
Itulah strategi biasa yang dilakukan oleh kakitangan bilik perang dalam medan tempur politik. Tetapi kalian jangan kaitkan strategi ini dengan penangkapan barua ekonomi tadi. Kita bersyukur kerana sebijak-bijak tupai melompat, akhir ke tanah juga tempat tersungkurnya. Tahniah SPRM. Tahniah kerajaan UMNO/BN. Kebetulan sentiasa berlaku tanpa dijangka.
Kebetulan ini sama juga dalam kes-kes penangkapan rasuah sebelum ini. Mohd Khir Toyo dihumban ke penjara setelah ada perebutan kuasa sesama sendiri di Selangor. Dato Seri Ahmad Said, bekas MB Terengganu pernah digertak dengan rasuah juga kerana perbalahan politik dalaman. Bezanya, Ahmad Said ini kaki gedebe. Beliau banyak modal dan buah kilas. Tak kena buat, tumbang ‘bapak seladang’ dibuatnya. Akhirnya Ahmad Said tak berani diusik. Dan kita kena ingat, ugutan rasuah terhadap Ahmad Said ini juga satu kebetulan dengan war game UMNO/BN.
Jadi, rakyat tidak bolehlah kata UMNO/BN akan menyorok onar pemimpin mereka selagi pemimpin mereka tak buat hal. Rakyat tak boleh buat fitnah bahawa pemimpin UMNO/BN akan melindungi bos-bos jabatan kerajaan selagi dapat persen-persen tertentu untuk survival politik. Rakyat pula bolehlah terus mendaulatkan UMNO/BN untuk mendapat BR1M atau sebiji bola untuk disepak beramai-ramai. Biar negara bangkrap, asal BN menang kerana hidup ini penuh dengan  kebetulan.
Biarlah negara hancur, rakyat mestilah terus mempertahankan UMNO/BN. Parti simbol dacing yang tak pernah senget apabila dicetak tiada kena-mengena dengan segala hodoh dan busuk politik kerana semua berlaku secara kebetulan. Dan motif tulisanku adalah untuk menyapu bersih segala syak wasangka yang mula bermain di minda rakyat terhadap UMNO/BN kerana pemakan dedak tetap berpegang bahawa semua itu adalah suatu kebetulan.

Comments

Popular posts from this blog

dari Blog; Tumpang sekole

Catatan "Hishamuddin Rais" Malam Keputusan PRU 14

TARANNUM AL-QURAN