Cukuplah Hentam Dr M
Oleh Zaid Ibrahim
Saya cadangkan biarlah tugas menghina dan menghentam Dr Mahathir ini kita serah kepada menteri kanan Najib dan kuncu-kuncu mereka sahaja. Tak payahlah penyokong Anwar dan lain-lainnya masuk campur. Nazri Aziz, Rahman Dahlan, Salleh Said Keruak dan rakan-rakan mereka sudah cukup sebagai “satu tag team” yang hebat.
Lagi pun masih ada lagi bloggers dan Ibrahim Ali yang bersedia menghentam Dr Mahathir jika perlu. Apa pula niat Saari Sungib (YB) dari Amanah nak meramaikan lagi skuad menghentam Dr Mahathir dengan tuntutan supaya beliau minta maaf secara terbuka. Mahathir sudah pergi berjumpa Anwar Ibrahim, mereka bersalaman mesra, mereka tahu apa yang mereka buat; apa lagi Saari Sungib mahu?
Dr Mahathir telah beberapa kali berkata ada kesilapan beliau semasa memerintah bagitu lama. Dr Mahathir juga telah meminta maaf diatas pindaan Perlembagaan yang menjejaskan kuasa Raja-Raja dulu, jadi apa lagi Saari Sungib mahu?
Kalau Dr Mahathir banyak buat silap semasa dulu, Najib tak silapkah semasa mencium tangan Mahathir ketika itu? Anwar dan Muhyiddin tidak silapkah kerana begitu mesra dan setia kepada Dr Mahathir dan Najib sebelum dipecat?
Jadi berapa orang dari pemimpin yang ada yang kita mahu minta maaf sekarang ini?
Kita semua buat silap semasa berkuasa, jadi tak payahlah nak ambil sikap bahawa segala kesilapan datang dari Dr Mahathir seorang sahaja. Yang penting kita sedar bahawa kita ada dua kumpulan pemimipin; satu yang pernah memerintah secara korup dan menyalahgunakan kuasa tetapi insaf dan mahu berubah; dan yang satu lagi masih terus berbohong dan menipu rakyat kerana mereka tidak insaf dengan kesilapan mereka.
Saari dan kawan-kawannya boleh pilih yang mana satu idaman kalbu!
Saya juga tidak sedikit menerima kata-kata kesat daripada Dr Mahathir dan Muhyiddin semasa kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor dulu. Saya masih ingat bagaimana kempen UMNO secara peribadi yang menghina saya dan keluarga. Saya masih ingat apa yang mereka kata bila saya sebagai menteri membuat bayaran “sagu hati” kepada hakim-hakim yang dipecat pada tahun 1988.
Tetapi bila Dr Mahathir mempelawa saya bekerja bersama-samanya untuk “Selamatkan Malaysia” dan membantunya dalam parti baru, saya kira itu cara beliau meminta maaf. Banyak cara kita boleh meminta maaf, melupakan yang lepas adalah sebaik-baiknya.
Penerimaan saya ke dalam team Dr Mahathir itu saya anggap satu penghormatan dari seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara, walaupun ada kelemahan dan kesilapan beliau. Saya bangga dengan keberanian bekas PM yang berumur 91 tahun , tapi masih mahu memperbetulkan kepincangan yang ada.
Dia sayangkan negara ini, dan ini adalah pengorbanan asli. Dia tidak hanya suka hidup selesa naik jet ke sana sini atau bercuti di sana sini, tetapi dia sanggup bersusah supaya Malaysia diselamatkan. Saya bangga dengan sikap ini, oleh itu saya tetap akan membantunya. Apa lagi saya mahu?~http://www.zaid.my
Keutamaan sekarang ialah: Matlamat >Tumbang BN. Agenda Individu hak masing-masing
Comments