Dari Blog Saiful Islam

Semenjak minggu kedua di Turki, saya mengalami kekacauan fikiran dan kali ini kekacauan itu mungkin baik untuk akademik saya, tetapi boleh membunuh identiti saya.
Saya rasa, ceramah-ceramah motivasi yang saya buat selama ini seperti kosong daripada isi. Ia susah hendak dijustifikasi sebab kesan dan feedback peserta memang biasanya baik. Tetapi saya jadi resah melihat iklan-iklan program training, motivasi, tips dll oleh ramai pihak, termasuk yang mengiklankan saya sebagai penyampainya, sebagai sesuatu yang tidak secara sebenar merawat masalah masyarakat.
Mungkin sebab saya terlalu terpukul dengan perubahan yang saya lihat di Turki. Bangsa mereka boleh bangkit. Keluar daripada belenggu masalah yang amat amat kritikal sedekad sudah. Dan sahabat saya bertanya, “kenapa susah sangat Malaysia nak get rid Mahathir?” saya tidak boleh tidur malam dibuatnya. Bukan soal pro atau kontra dengan Mahathir, tetapi kelemahan upaya bertindak individu kita, itu yang meresahkan saya.
Saya terasa seperti tips, teknik-teknik, yang biar pun katanya diekstrak daripada teks agama, seperti ‘menggedikkan’ masyarakat, lembik dan lembab. Dan ini menyebabkan saya rasa diri saya kotor kerana terasa seperti saya turut menyumbang ke arah itu.
Motivasi menjadi seperti makanan ringan. Sedap, namun tidak berkhasiat. Kesan buruknya hadir pada jangka masa panjang.
Walaupun saya tahu, sebenarnya dunia akademik pun belum tentu ada solusi untuknya.
Tapi saya mengalami kehilangan minat untuk menerima jemputan ceramah yang berlambak dalam inbox tu.
Sedangkan saya perlu terus bekerja!
Di Turki tiada sangat motivasi-motivasi ni.
Satu malam, saya dan rakan menonton tv sekitar jam 12 malam, seorang profesor berdebat dengan pengacaranya seorang wanita. Berpakaian daring, dan bertanya soalan bertubi-tubi. Tajuk episod malam tu ialah “Syurga, Neraka, A’raf”
Saya tak faham kebanyakan butir diskusinya, tetapi saya tahu isi yang dikongsi amat tepu dengan ilmu.
Pengacara tu pun asyik tergamam je.
Saya puas menontonnya. Ia bernas dan kukuh dasar ilmunya.
Ceramah motivasi makin kembali terasa seperti berniaga air liur basi. Ia seperti memanipulasi kelemahan masyarakat yang menagih benda lemah, tanpa berusaha mengukuhkan mereka dalam erti kata yang sebenar.
Saya jadi bingung bila tengok pemidato berpakaian hebat, kacak dan anggun bergaya, mempakejkan modul kemas-kemas dan bercakap penuh karisma sedangkan dalam kepala saya terus-menerus berkata, “apa benda yang kau cakap ni?”
Dunia motivasi yang saya ceburi ini terasa semakin kotor. Membuang duit, masa dan tenaga banyak pihak. Ia diburukkan lagi dengan bercambahnya syarikat baru, trainer yang pantas menggelar dirinya pakar motivasi, malah pakar motivasi sendiri yang saya semakin sulit untuk memposisikan penerimaan saya terhadap apa yang dibawa.
Kosong.
SHAM: KEBEJATAN DUNIA MOTIVASI


MANGSA TEKNIK PEMASARAN
Betapa kritikalnya masyarakat kita ialah, kerana kepakaran pemasaran, sebuah buku ‘bodoh ‘pun boleh dijual ratusan ribu naskhah. Dan kerana imej serta ketepatan teknik , manusia mengerumuni apa yang sebenarnya tidak menawarkan mereka solusi.
Melihat dari jarak luar sedikit, sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia seperti dirasuk. Possessed… by something, I dunno. Sangat mudah dimanipulasi. Dan ramai yang memanipulasi. Sebahagiannya bukan dengan niat yang tidak baik, tetapi secara tidak sedar. Mengukur kualiti pada penerimaan dan populariti, sedangkan populariti agama semakin seiringan dengan populariti maksiat dan kemusnahan jati diri.
Sebab itu di dalam ceramah saya, walaupun namanya motivasi, saya amat jarang buat game, bersorak-sorak. Dan jika mahu seronokkan peserta, saya akan berhenti seketika, kisahkan mereka kisah benar yang ada isi tapi menyeronokkan… sebab saya tidak dapat meyakinkan diri sendiri bahawa teknik-teknik ‘latihan’ itu sebagai cara yang betul untuk membina manusia.
Tetapi cara ini menyebabkan saya declassified . Term and Condition sedia ada, tidak dapat saya menghadamnya. T&C sendiri, saya terlalu kerdil untuk memperjuangkannya.
Saya berhajat untuk berundur daripada dunia motivasi. Walaupun jalan akademik masih amat jauh. Hanya satu yang saya pertahankan, iaitu dakwah.
Apa sahaja pilihan, kita adalah umat dakwah sebelum segala-galanya.
Motivasi adalah pilihan. Dakwah adalah kewajipan.

Comments

Popular posts from this blog

dari Blog; Tumpang sekole

Catatan "Hishamuddin Rais" Malam Keputusan PRU 14

TARANNUM AL-QURAN