Dari Blog Saiful Islam
Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna.
Seperti Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?
Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:
“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”
ADAT DAN IBADAT
Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat.
Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat dari suatu kebiasaan kepada suatu jalan taqarrub kepada Tuhan. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat menjadi ibadat.
Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.
Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.
UNGKAPAN MINAL ‘AIDEEN WAL FAAIZEEN
Ungkapan minal ‘aideen wal faaizeen itu adalah suatu ungkapan yang besar.
Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.
Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.
Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.
Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.
Semua itulah yang diajar Ramadan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan dikawal nafsu.
Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, baru diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.
Ramadan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah.
Mereka inilah golongan ‘Aaideen… golongan yang pulang, kembali kepada Fitrah.
MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA
Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faa’izeen!
“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Asy-Syams 91: 9)
Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Faa’izeen yang kita sebutkan.
CERMIN DIRI
Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga…
Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa’izeen, erti yang sesungguhnya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KULLU ‘AAM WA ANTUM BIKHAIR
Comments