Wahai Melayu, Lihat Lah dan Fikir lah

“Mengapa tidak undi BN sahaja?”, tanya rakan saya lagi.

“11 penggal BN memerintah, mahu tambahan 5 tahun lagi? Udah-udah le”, saya menjawab.

JENAYAH UMNO-BN

Jika mahu bercakap soal Melayu, Muslim dan hero-hero pembelanya, jawablah soalan ini…

Siapakah yang menyekat kewangan pusat kepada kerajaan ‘Melayu’ dan ‘Muslim’ di Terengganu dan Kelantan? BN, UMNO.

Siapakah yang menggadaikan tanah rezab orang Melayu? BN, UMNO.

Siapakah yang meminggirkan Bahasa Melayu dan sastera Melayu? BN, UMNO.

Siapakah yang menyekat ilmuan Melayu, ilmuan Muslim dengan segala ancaman, ugutan, hingga masjid dan surau lebih baik dibiarkan sepi daripada makmur dengan pengajian yang tidak serasi dengan kehendak politik? BN, UMNO.

Siapakah yang gagal melaksanakan DEB yang diformulakan sendiri oleh mereka untuk kononnya membantu orang Melayu? BN, UMNO.

Siapakah yang memerintah ketika Melayu Muslim Pulau Pinang terpinggir dan akhirnya merempat di tanah sendiri? BN,, UMNO, Gerakan…

Kita kehilangan segala-galanya di bawah Barisan Nasional, di bawah UMNO. Mengapa harus ada kepercayaan bahawa BN masih relevan sebagai tempat meletak harapan? Bukan sepenggal, tetapi 50 tahun. Semakin lama UMNO dan BN berkuasa, semakin mereka lupa. Usahkan mahu membantu mengatasi kemiskinan Cina dan India, bangsa sendiri pun mereka lupa.

UMNO adalah masalah Melayu. Mereka juga masalah Cina dan India, serta kaum lain yang menghuni Malaysia.

Peluang untuk UMNO dan BN sudah tamat. Untuk menamatkannya, hanya strategi 1 lawan 1 sahaja yang mampu menundukkannya. Di mana-mana kawasan BN berdepan dengan DAP, maka DAP itulah yang perlu dipilih.

Tidak mengundi adalah keputus asaan.

Mengundi BN adalah suatu kebodohan.

Maka DAP adalah pilihan yang tinggal untuk menundukkan keangkuhan BN.

Lainlah kalau Melayu mahu belajar mendengar dan memahami tentang PAS. Namun apa yang berlaku, sebut sahaja PAS, jika tidak jebik, gamlah yang dipalit. Apabila hak orang Melayu terusik, tiba-tiba pula BN mahu menampilkan diri menjadi juara membela bangsa.

PAS GABUNG DENGAN BN?

“Kenapa tidak PAS Perak bergabung sahaja dengan BN?”, tanya sahabat yang seorang lagi. Banyak benar sembang politik sehari dua ini.

“PAS sudah pun bergabung dengan BN pada tahun 1972. Alasan pun tidak banyak beza. Mahu menyelamatkan politik Melayu Muslim, ekoran peristiwa 1969. Tetapi apa yang berlaku kepada PAS?”, saya cuba memanggil kembali ingatan kepada sejarah.

“Apa yang berlaku?”, tanya kawan saya lagi.

“UMNO menipu PAS. Setelah kuat, mereka kembali angkuh. PAS disekat daripada berkembang. MB Kelantan mahu dilantik oleh Kerajaan Pusat biar pun PAS memenangi kerusi terbanyak dalam pilihanraya di Kelantan. Akhirnya PAS yang tertekan, kehilangan sokongan dan Kelantan jatuh ke tangan BN hasil pengisytiharan MAGERAN pada tahun 1978″, itu kata sejarah.

“Yang angkuh suka bermusuh”, ulas teman saya tadi.

“Haa.. tahu pun”, saya menambah.

“Tetapi DAP pun nampaknya angkuh!”, kata teman saya.

“Menarik!”, saya bersetuju.

Di Perak, masalah yang dihadapi oleh DAP bukannya PAS atau PKR atau Barisan Nasional. Tetapi masalah DAP ialah Undang-undang Tubuh Negeri, dan Sultan selaku pemerintah tertinggi Negeri. Ujian pertama bagi DAP ialah sejauh mana mereka mampu bergerak mengikut lunas undang-undang. Play with the rule.

Undang-undang Tubuh Negeri itu, atau Dasar Ekonomi Baru, atau apa sahaja peruntukan yang dianggap bersalahan dengan prinsip keadilan yang diterjemahkan oleh DAP, haruslah dilihat kembali di dalam konteks sejarah. Kesemua peruntukan yang dianggap menghalang itu, muncul sebagai reaksi kepada kegagalan kaum Cina pada tahun 1969 mengendalikan kemenangan mereka.

Kemenangan mana-mana parti yang bertanding, adalah amanah untuk mentadbir masyarakat secara menyeluruh. Tetapi kemenangan besar-besaran pada masa itu, diterjemahkan sebagai kejayaan satu kaum ke atas satu kaum yang lain. Mereka pada tahun 1969 telah gagal menunjukkan keikhlasan mereka untuk berlaku adil kepada kaum yang menang dan kaum yang kalah.

Sejauh manakah benarnya penafsiran saya terhadap insiden 13 Mei 1969 itu? Ia tidak penting kerana itulah persepsi yang membelenggu orang Melayu hingga ke hari ini. UMNO pula suka memperalatkan peristiwa itu untuk menjadi modal divide and rule mereka. Takutkan orang Melayu dengan 13 Mei 1969 agar dalam ketakutan itu, mereka terpaksa memilih yang SATU itu. Biar sejahat mana sekali pun yang SATU itu.

Comments

Popular posts from this blog

dari Blog; Tumpang sekole

Jiwa Hamba

Catatan "Hishamuddin Rais" Malam Keputusan PRU 14