Semuanya tiada. Tiada Jualan Murah. Tiada Lagu Raya. Tiada rancangan khas di televisyen. Tiada mercun dan panjut menghias malam. Segalanya tiada. Ibu kota sunyi sepi. Tiada hiruk pikuk seperti menyambut ketibaan Syawwal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir. Di menara masjid, di surau-surau, di sesetengah rumah. Itu sahaja. Tetapi, tidakkah itu semua suatu kelebihan? Satu nikmat pada yang tiada. Aidil Adha tiba tanpa pesta dan hiburan. Hanya Takbir, Solat di hening Dhuha serta ibadah korban didukung jiran tetangga. Hakikatnya itulah makna sebuah Hari Raya. Hari membesarkan Allah, hari mencipta pahala, bukan hari melakar dosa. Syukur pada-Mu ya Allah. Aidil Adha masih terpelihara. Masih jauh daripada pesta dan dosa. Moga kekal begitu hendaknya. KEKURANGAN YANG SATU Kekurangannya hanya pada yang satu. Anak-anak tidak pulang ke desa. Jika ada pun, mungkin di hari kedua. Kerana komitmen kerja dan tanggungjawab yang tidak mengenal Raya. Kampung halaman kurang menerima kepulangan a